fb fb fb fb fb

Australia larang remaja bawah 16 tahun akses media sosial

Foto AFP

SYDNEY, 9 Disember - Australia menguatkuasakan larangan penggunaan media sosial terhadap remaja bawah 16 tahun, langkah pertama seumpamanya di dunia bagi mengekang ketagihan dan risiko kandungan berbahaya dalam talian.

Di bawah undang-undang baharu itu, platform media seperti Facebook, Instagram, TikTok, YouTube, Snapchat dan Reddit boleh dikenakan denda sehingga AS$33 juta jika didapati gagal menutup atau menyekat akaun pengguna bawah umur di Australia.

Kerajaan berkata larangan tersebut penting bagi melindungi kanak-kanak daripada “algoritma pemangsa” yang menyebarkan kandungan berkaitan buli, seksual dan keganasan.

Langkah itu menerima sokongan ramai ibu bapa, namun menerima kritikan meluas dalam kalangan remaja.

Malah syarikat teknologi termasuk You Tube menyifatkan tindakan itu sebagai keterlaluan dan terburu-buru, sekali gus memberi amaran larangan tersebut hanya akan mendorong remaja meneroka laman web yang lebih berisiko.

Kerajaan Australia dalam pada itu mengakui pelaksanaan awal mungkin tidak sempurna, namun menegaskan platform terbabit mesti mengambil langkah munasabah bagi memastikan hanya pengguna berumur 16 tahun ke atas dibenarkan.

Pengesahan umur mungkin menggunakan AI atau dokumen pengenalan diri.

Beberapa negara lain termasuk New Zealand dan Malaysia dilaporkan sedang meneliti langkah sama.- AFP

EZA YUSMAWATI YAACOP