PARIS, 1 Julai – Paris berada dalam status amaran merah berikutan suhu tinggi pada Selasa dengan puncak Menara Eiffel ditutup, larangan terhadap kenderaan pencemar dan had laju dikuatkuasakan, susulan gelombang haba yang melanda benua Eropah.
Negara-negara Mediterranean seperti Sepanyol, Perancis, Itali, Balkan, dan Greece telah beberapa hari mengalami suhu melebihi 40 darjah celsius, mendorong amaran kesihatan awam dan peningkatan risiko kebakaran hutan.
Menurut agensi ramalan cuaca Meteo France, suhu tertinggi dijangka antara 36 darjah celsius sehingga 41 darjah celsius, manakala suhu minimum sekitar 20 hingga 24 darjah celcius.
Sebanyak 16 wilayah di Perancis kini dalam tahap amaran tertinggi dan 68 lagi dalam tahap kedua.
Sementara itu, pengendali Menara Eiffel bertindak menutup puncak menara tersebut sejak Isnin hingga Rabu kerana cuaca panas melampau. Akses ke tingkat satu dan dua masih dibuka, namun pengunjung dinasihatkan untuk berhati-hati.
Di seluruh wilayah Ile-de-France termasuk Paris, polis berkata larangan pengunaan semua kenderaan kecuali yang paling tidak mencemarkan dari 03:30 pagi hingga 10:00 malam (GMT) kerana tahap pencemaran ozon yang tinggi. Had laju 20 kilometer sejam juga akan kekal di beberapa tempat.
Dalam pada itu, hampir 1,350 sekolah dijangka ditutup sepenuhnya atau sebahagian, hampir dua kali ganda berbanding hari sebelumnya.
Pihak berkuasa juga memberi amaran kepada golongan kanak-kanak, warga emas dan pesakit kronik agar mengambil langkah berjaga-jaga.
“Gelombang haba boleh membawa maut. Kita perlu ambil perhatian, ia sama serius seperti ribut berbahaya,” kata Ahli Sains Iklim dari University of Reading, Dr. Akshay Deoras.
Di Itali, amaran merah cuaca panas dikeluarkan di 18 bandar termasuk Rome, Milan, Verona dan Palermo.
Laut Mediterranean mencatat suhu tertinggi pernah direkodkan pada bulan Jun pada 26.01 darjah celsius, menurut saintis cuaca Perancis berdasarkan data Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah.-AFP