fb fb fb fb fb

Gaza Terkini: Angka korban rakyat Palestin meningkat kepada 11,078

Mangsa yang terbunuh dalam pengeboman Israel di Deir Balah di tengah Semenanjung Gaza, di hospital Shuhada Al-Aqsa/FOTO AFP

GAZA, 11 November - Angka kematian rakyat Palestin akibat serangan rejim Zionis di Semenanjung Gaza telah meningkat kepada 11,078, kata Kementerian Kesihatan di Gaza.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Ashraf al-Qudra dalam sidang media di Gaza memaklumkan, mangsa yang terkorban termasuk 4,506 kanak-kanak, 3,027 wanita, dan 678 warga emas, manakala 27,490 orang cedera.

Selain itu, kira-kira 2,700 lagi penduduk termasuk 1,500 kanak-kanak dilaporkan terperangkap di bawah runtuhan bangunan angkara serangan rejim pengganas berkenaan.

Ashraf menegaskan tindakan zalim Israel turut menyebabkan 198 pegawai perubatan syahid manakala 53 buah ambulans musnah.

“Zionis juga turut menyasarkan 135 institusi kesihatan dan menyebabkan 21 hospital serta 47 pusat kesihatan penjagaan primer tidak beroperasi,” katanya.

Selain tindakan pembunuhan dan pemindahan besar-besaran, bekalan asas di wilayah terkepung itu juga semakin berkurangan.

Menurutnya, sejak tercetusnya konflik itu, 21 daripada keseluruhan 35 hospital di Semenanjung Gaza telah ditutup.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata sejak 7 Oktober, lebih daripada 270 serangan ke atas institusi perubatan di Semenanjung Gaza.

Di samping itu, sekurang-kurangnya 57 ambulans mengalami kerosakan manakala 45 daripadanya musnah sepenuhnya.

Konflik masih berterusan antara tentera Israel dan Palestin di Semenanjung Gaza. - REUTERS

GRACE AISYAH KEDAYAN