fb fb fb fb fb

Gangguan rangkaian telekomunikasi ragut tiga nyawa di Australia

Optus/AFP

SYDNEY, 20 September- Kerajaan Australia menyifatkan syarikat telekomunikasi Optus telah mengecewakan rakyat selepas tiga individu dilaporkan meninggal dunia akibat gangguan rangkaian yang menghalang panggilan kecemasan.

Gangguan selama 13 jam itu berlaku bermula tengah malam Khamis lalu, menjejaskan kira-kira 600 pengguna di Australia Selatan, Australia Barat dan Wilayah Utara. Pihak berkuasa hanya dimaklumkan mengenai insiden berkenaan serta kematian terbabit lewat Jumaat.

Menteri Komunikasi, Anika Wells berkata, Optus gagal memenuhi tanggungjawab apabila rakyat sangat memerlukan perkhidmatan tersebut.

Katanya, semua penyedia telekomunikasi di Australia mempunyai kewajipan undang-undang untuk memastikan panggilan kecemasan dapat disalurkan.

Polis Australia Selatan memaklumkan kematian seorang bayi lelaki berusia lapan minggu dan seorang wanita berusia 68 tahun dikaitkan dengan gangguan berkenaan, manakala kematian ketiga dilaporkan di Australia Barat.

Ketua Pegawai Eksekutif Optus, Stephen Rue menjelaskan gangguan itu berlaku semasa kerja kemas kini firewall dan ujian awal tidak menunjukkan sebarang masalah panggilan.

Beliau menyifatkan insiden tersebut sebagai "sangat tragis" serta mengesahkan pemeriksaan kebajikan terhadap semua pelanggan terjejas telah dilakukan.

Optus akan menjalankan siasatan bebas, selain berdepan kemungkinan denda dan tindakan undang-undang.

Syarikat itu pernah didenda sebanyak A$12 juta (kira-kira RM37 juta) selepas gangguan hampir 12 jam menjejaskan perkhidmatan mudah alih dan internet pada 2023. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA