fb fb fb fb fb

Serangan dron Ukraine di Rusia ragut empat nyawa

Pertahanan udara Ukraine melepaskan tembakan ke arah dron Rusia di ruang udara Kyiv ketika serangan besar-besaran dron dan peluru berpandu pada 20 September 2025/AFP

MOSCOW, 20 September- Seramai empat orang maut manakala seorang cedera selepas wilayah Samara di barat daya Rusia diserang dron Ukraine, menurut Gabenor Vyacheslav Fedorishchev hari ini.

Beliau berkata serangan malam tadi itu merupakan antara tindakan balas paling dahsyat yang pernah dilancarkan Ukraine ke atas Rusia.

Pada masa sama, pihak berkuasa Ukraine memaklumkan tiga orang turut terbunuh dalam serangan dron dan pengeboman yang dilancarkan Rusia sepanjang malam.

Kementerian Pertahanan Rusia mendakwa 149 dron Ukraine berjaya dipintas atau ditembak jatuh termasuk 15 di wilayah Samara yang terletak kira-kira 800 kilometer dari garis hadapan peperangan.

Moscow hampir setiap hari mengumumkan kejayaan memusnahkan dron Ukraine manakala Kyiv menegaskan serangan itu menyasarkan infrastruktur tenaga sebagai tindak balas terhadap pengeboman berterusan ke atas bandar-bandar Ukraine. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA