fb fb fb fb fb

Gagal patuhi syarat pelaburan, Indonesia haramkan penjualan Google Pixel dan iPhone 16

Foto REUTERS

JAKARTA, 1 November- Indonesia telah mengharamkan penjualan telefon pintar Google Pixel berikutan kegagalan syarikat gergasi teknologi berkenaan mematuhi peraturan pelaburan tempatan.

Pengharaman itu hanya beberapa hari selepas pengharaman penjualan iPhone 16 keluaran Apple, menurut kenyataan Kementerian Perindustrian negara itu.

Jakarta kini berusaha menarik pelaburan daripada syarikat teknologi asing dengan mewajibkan penggunaan sekurang-kurangnya 40 peratus komponen tempatan dalam setiap telefon pintar yang dijual di negara tersebut.

“Kami menyatakan bahawa selagi produk-produk tersebut tidak memenuhi skema yang telah kami tetapkan, ia tidak boleh dijual di Indonesia,” kata jurucakap Kementerian Perindustrian, Febri Hendri Antoni Arif, dalam sidang media pada Khamis.

“Bagi Google Pixel, mereka masih belum mendapatkan sijil TKDN,” tambah beliau, merujuk kepada skema yang mengenakan syarat 40 peratus komponen tempatan", tambah Febri.

Selaku ekonomi terbesar di Asia Tenggara, Indonesia mempunyai populasi muda yang celik teknologi dengan lebih 100 juta penduduk di bawah umur 30 tahun dan menjadi sasaran utama syarikat teknologi yang ingin memanfaatkan pasaran tersebut.

Data dari kementerian menunjukkan sekitar 22,000 unit telefon Google Pixel telah memasuki Indonesia tahun ini.

Pasaran telefon pintar Indonesia pada suku kedua tahun ini dikuasai oleh jenama China seperti Xiaomi, Oppo, dan Vivo, serta Samsung dari Korea Selatan, menurut Counterpoint Research.

Kementerian itu turut menyatakan bahawa telefon pintar yang dihalang daripada dijual secara komersial masih boleh dibawa masuk ke Indonesia selagi ia tidak diniagakan.

Menurut kementerian tersebut, telefon iPhone 16 juga gagal memenuhi syarat penggunaan 40 peratus komponen tempatan.

Walaupun Apple tidak mempunyai kedai rasmi di Indonesia, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tim Cook, telah melawat negara itu pada April lalu sebagai sebahagian daripada usaha firma tersebut untuk meneroka peluang pelaburan di Indonesia.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD