fb fb fb fb fb

Filipina persiapkan destinasi untuk delegasi ASEAN 2026 – DOT

Foto hiasan / REUTERS

MANILA, 25 September - Filipina sedang membuat persiapan bagi destinasi di dalam dan sekitar lokasi yang akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN dan Mesyuarat Berkaitan tahun depan, kata Jabatan Pelancongan (DOT) Filipina pada Rabu, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Malaysia akan menyerahkan Kepengerusian ASEAN kepada Filipina semasa Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur pada Oktober 2025.

“Jabatan Pelancongan adalah sebahagian daripada Jawatankuasa Penganjur Kebangsaan ASEAN dan kami khususnya bertanggungjawab memastikan destinasi kami bersedia, termasuk kemudahan, lawatan budaya dan persembahan,” kata Setiausaha Pelancongan Christina Frasco kepada pemberita di Centro de Turismo Intramuros, Manila.

“Kami telah menghantar pasukan untuk melawat destinasi di seluruh negara dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan supaya intervensi yang diperlukan, terutamanya dari segi sokongan infrastruktur, keselamatan, kebersihan dan tahap kesiapsiagaan, dapat dipenuhi.”

Antara rangkaian mesyuarat berkaitan ASEAN yang dijadualkan tahun depan ialah Forum Pelancongan ASEAN (ATF) yang akan diadakan di Cebu pada Januari.

Dalam temu bual itu, Frasco turut mengesahkan ATF akan berlangsung di Pusat Ekspo Mactan yang baharu dibina di Bandaraya Lapu-Lapu.

“Saya dimaklumkan bahawa Pusat Ekspo Mactan, yang serba baharu, akan siap pada suku terakhir tahun ini - sedia untuk Forum Pelancongan ASEAN,” katanya.

Infrastruktur baharu itu yang mampu menampung sehingga 2,600 orang dijangka menambah pilihan ruang mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) serta acara di Cebu, melengkapi Pusat Konvensyen NUSTAR dan Pusat Konvensyen IC3 di Cebu City.- BERNAMA

MOHAMAD KHAIRIE KHALID