BANGKOK, 25 September - Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, memaklumkan bahawa beliau merancang untuk membubarkan Parlimen selewat-lewatnya pada akhir Januari, dengan pilihan raya umum dijangka diadakan pada Mac atau awal April tahun hadapan.
Menerusi satu sidang media pada Rabu, Anutin berkata kerajaan merancang untuk melaksanakan beberapa langkah bagi menangani isu ekonomi semasa, termasuk meringankan kos sara hidup serta mengatasi penurunan harga hasil pertanian melalui sokongan berterusan kepada golongan petani.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya mempunyai pendirian jelas untuk tidak menyokong perniagaan perjudian, sekali gus menolak cadangan pembinaan kompleks hiburan berkonsepkan kasino atau usaha menghalalkan perjudian dalam talian.
Anutin kini berdepan cabaran besar untuk memulihkan ekonomi negara yang sedang bergelut dengan tarif perdagangan dari Amerika Syarikat, kadar hutang isi rumah yang tinggi, serta kelemahan dalam perbelanjaan domestik.-REUTERS