ALAJUELA, 25 September – Costa Rica membuka semula ruang udaranya pada Rabu selepas gangguan bekalan elektrik menyebabkan sistem radar lumpuh dan memaksa penutupan operasi penerbangan di seluruh negara selama lebih lima jam.
Timbalan Pengarah Penerbangan Awam, Luis Diego Saborio berkata gangguan itu melumpuhkan semua trafik udara, menjejaskan penerbangan domestik dan antarabangsa.
Dua lapangan terbang utama iaitu Juan Santamaria di San Jose dan Daniel Oduber Quiros di Guanacaste turut terkesan dengan penangguhan dan pembatalan penerbangan.
Menurut pengendali Aeris, sekurang-kurangnya 44 penerbangan di Juan Santamaria terjejas.
Bagaimanapun, kedua-dua lapangan terbang mengesahkan operasi kembali pulih selepas sistem radar berjaya dipulihkan.
Menteri Pengangkutan, Efraim Zeledon memaklumkan siasatan akan dijalankan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang pada masa depan. -REUTERS