MANILA, 8 Julai- Filipina dan Jepun bersedia memeterai satu pakatan pertahanan penting yang akan membenarkan penempatan tentera di wilayah masing-masing.
Menteri Pertahanan Jepun, Minoru Kihara dan Menteri Luar, Yoko Kamikawa akan mengadakan rundingan peringkat tinggi dengan rakan sejawatan mereka dari Filipina, Gilberto Teodoro dan Enrique Manalo di Manila hari ini.
Filipina dan Jepun iaitu sekutu lama Amerika Syarikat, mengeratkan hubungan pertahanan dalam menghadapi China.
Menurut Pejabat Komunikasi Presiden Filipina, Presiden Filipina Ferdinand Marcos akan menyaksikan pemeteraian perjanjian Akses Timbal Balik (RAA) itu, yang mula dirundingkan pada November lalu.
Perjanjian itu akan menyediakan rangka kerja undang-undang untuk Jepun dan Filipina menghanta anggota pertahanan ke wilayah masing-masing bagi latihan dan operasi-operasi lain.
Duta Tokyo ke Manila, Kazuya Endo pada Khamis lalu berkata, rundingan hampir mencapai kesimpulan, sekali gus menandakan perkembangan penting dalam bekalan peralatan pertahanan Jepun ke Filipina.
Rundingan itu susulan konfrontasi yang semakin meningkat di laut antara kapal-kapal China dan Filipina ketika Beijing meningkatkan usaha untuk mempertahankan tuntutannya ke atas hampir semua kawasan Laut China Selatan.- AFP