fb fb fb fb fb

Filipina desak Israel terima cadangan gencatan senjata

Foto AFP

MANILA, 25 Ogos- Kerajaan Filipina menyertai masyarakat antarabangsa mendesak supaya segera menamatkan “malapetaka kemanusiaan yang semakin buruk” di Gaza berikutan konflik yang berterusan di wilayah itu, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Dalam satu kenyataan pada Isnin, Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) Filipina menggesa Israel supaya menerima cadangan gencatan senjata yang dikemukakan masyarakat antarabangsa, dengan menyifatkannya sebagai “langkah penting untuk melindungi orang awam dan menghidupkan semula laluan ke arah perdamaian.”

“Filipina amat bimbang dengan perkembangan terkini, termasuk rancangan kerajaan Israel untuk mengambil alih secara penuh kawalan ketenteraan di Gaza, sekatan berterusan terhadap akses bantuan kemanusiaan penting seperti makanan dan air, perpindahan besar-besaran, serangan yang menjejaskan orang awam serta laporan mengenai peluasan penempatan di Tebing Barat.

“Perkembangan ini memburukkan lagi keadaan kemanusiaan yang sudah pun parah dan semakin menjejaskan prospek bagi keamanan yang adil, berkekalan dan menyeluruh di Timur Tengah,” kata DFA.

Minggu lalu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres turut memperbaharui gesaannya agar gencatan senjata dilaksanakan, memberi amaran bahawa serangan penuh ke atas Bandar Gaza akan mengakibatkan “kematian dan kemusnahan besar-besaran.”

PBB menyatakan masih terdapat kira-kira sejuta penduduk yang tinggal di Gaza.

Data daripada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Timur Dekat (UNRWA) menunjukkan sejak Mac tahun ini, selepas gencatan senjata gagal, hampir seorang daripada setiap tiga kanak-kanak di Bandar Gaza kini mengalami kekurangan zat makanan, manakala perpindahan besar-besaran sedang berlaku.

Pelbagai kumpulan bantuan turut memberi amaran mengenai kebuluran dan penyakit ketika konvoi kemanusiaan berdepan sekatan akses.

“Oleh itu, Filipina dengan tegas mendesak Israel mematuhi cadangan gencatan senjata sebagai langkah penting untuk melindungi orang awam dan menghidupkan semula laluan ke arah perdamaian,” menurut DFA. -BERNAMA

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello