fb fb fb fb fb

Filipina bebas sekatan COVID-19

MANILA, 1 Mac- Filipina akan menarik semula semua sekatan COVID-19 di Manila bermula hari ini selepas kes jangkitan direkodkan menurun mendadak serta peningkatan jumlah penduduk yang mengambil vaksin.

Keputusan itu dibuat beberapa minggu selepas negara itu membuka semula pintu sempadannya kepada pelancong antarabangsa buat kali pertama sejak dua tahun lalu.

"Sektor perniagaan, agensi kerajaan dan pengangkutan awam akan dibenarkan beroperasi pada kapasiti penuh apabila Manila diletakkan pada tahap berjaga-jaga paling rendah," menurut jurucakap presiden, Karlo Nograles.

Namun, pelitup muka masih perlu dipakai di tempat awam dan boleh ditanggalkan semasa bersenam dan melakukan aktiviti sukan di bawah peraturan baharu, yang juga terpakai di 38 kawasan lain di negara ini.


(Polis Filipina melakukan sekatan jalanraya ketika  peningkatan kes COVID-19 di Quezon City, Metro Manila, Filipina, 29 Mac 2021/ REUTERS)

Selain itu, pemeriksaan suhu dan sistem pengesanan kontak kasual juga akan ditamatkan.

Kes jangkitan COVID-19 di Filipina direkodkan sebanyak 1,421 pada minggu lalu, berbanding 39,004 pada 15 Januari lalu, ketika penularan Omicron memuncak.

Pendekatan baharu ini juga diharap dapat membantu Filipina memulihkan semula ekonominya yang sebelum ini terjejas akibat pandemik.

Selepas sekatan berpanjangan yang memusnahkan ekonomi dan menyebabkan berjuta-juta orang kehilangan pekerjaan, kelonggaran itu akan membantu meringankan kesengsaraan kewangan bagi kebanyakan rakyat Filipina.

Pihak berkuasa kesihatan negara ini turut memaklumkan kadar vaksinasi di Manila sudah mencapai 100 peratus, namun merekodkan kadar rendah di wilayah lain.

Setakat ini, lebih 3.6 juta penduduk Filipina sudah dijangkiti COVID-19 dan lebih 56,000 maut akibat virus itu.

Sebelum ini, beberapa negara Eropah termasuk England menarik semula semua sekatan COVID-19 yang menyaksikan rakyat dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

Golongan yang belum menerima vaksin COVID-19 juga diberi pengecualian untuk mengunjungi pelbagai kawasan umum termasuk restoran dan panggung wayang dengan syarat menunjukkan keputusan ujian COVID-19 yang negatif. - AFP

Media Baharu