fb fb fb fb fb

ICC siasat dakwaan jenayah perang di Ukraine

(Seorang wanita memegang sepanduk bertulis "Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague" semasa tunjuk perasaan menyokong Ukraine pada 24 Februari 2022/AFP)

THE HAGUE, 1 MAC - Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) akan melakukan siasatan berhubung situasi di Ukraine susulan serangan yang disifatkan oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin sebagai operasi khas ketenteraan.

Pendakwa raya ICC, Karim Khan berkata, beliau telah memutuskan untuk meneruskan rancangan membuka siasatan secepat mungkin.

(Pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Karim Khan/REUTERS

"Saya berpuas hati bahawa terdapat asas yang munasabah kepada dakwaan berlakunya jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Ukraine sejak 2014.

"Mengambil kira konflik yang semakin meluas dalam tempoh beberapa hari lalu, siasatan bakal merangkumi dakwaan baharu membabitkan jenayah yang berada bawah bidang kuasa ICC tanpa mengira mana-mana pihak yang melakukannya," kata beliau dalam kenyataan.

Minggu lepas Khan berkata mahkamah antarabangsa yang berpusat di Belanda itu menerima banyak aduan berhubung jenayah pencerobohan tetapi tidak dapat mengambil tindakan undang-undang kerana Rusia dan Ukraine tidak menandatangani Statut Rome.

"Saya akan terus mengikuti dengan dekat perkembangan lapangan di Ukraine, dan sekali lagi menggesa pematuhan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang boleh dikuatkuasakan,' katanya.

Ukraine pada 2014 dan 2015 mengiktiraf kecekapan ICC menyiasat kes jenayah semasa dan selepas kejatuhan pemimpin pro-Rusia, Viktor Yanukovych dan selepas serangan Rusia di Crimea. - AFP

Media Baharu