fb fb fb fb fb

Filem The Wild Robot akan ditayangkan 27 September ini

Foto Reuters

TORONTO, 8 September - 'The Wild Robot', filem fiksyen sains animasi oleh DreamWorks menerokai sisi baik dan buruk teknologi, kata bintangnya Lupita Nyong’o pada Ahad di tayangan perdana dunia filem itu, di sini.

Diadaptasi daripada siri buku Peter Brown, filem itu mengisahkan robot yang terpaksa menyesuaikan diri untuk bertahan selepas terkandas di pulau terpencil yang tidak berpenghuni.

"Filem ini meneroka kedua-dua sisi jahat teknologi dan potensi untuk teknologi berada di pihak kita," kata suara watak protagonis Roz, Nyong'o, di karpet merah tayangan Festival Filem Antarabangsa Toronto.

Pengarah Chris Sanders yang juga menulis lakon layar berkata, menggambarkan teknologi adalah cabaran kreatif utama, terutamanya buku Brown ditulis sebelum kecerdasan buatan (AI) dikenali dan digunakan secara meluas.

"Kami akan mencari keseimbangan. Saya fikir apa-apa jenis teknologi baru yang muncul pada mulanya sangat menarik. Ia boleh menjadi sedikit menakutkan, tetapi akhirnya kami akan memikirkannya," kata Sanders.

Barisan pelakon termasuk Pedro Pascal, Catherine O'Hara, Bill Nighy dan Kit Connor, melakonkan suara kepada haiwan yang ditemui Roz di pulau itu.

"Mesej file cerita ini ialah kebaikan adalah kuasa besar," kata Nyong'o, yang tahun ini turut membintangi "A Quiet Place: Day One," sebuah filem seram.

"Roz adalah robot yang tidak pernah melupakan hakikat dirinya, iaitu untuk membantu sesiapa sahaja. Dia masih boleh menyesuaikan diri dan menjadi lebih daripada apa yang dia telah diprogramkan."

Filem itu akan ditayangkan di pawagam pada 27 September ini.- REUTERS

TETITIA YUSOFF