fb fb fb fb fb

FIFA pertimbang sekatan lepas Indonesia hilang hak penganjuran

JAKARTA, 1 April Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sedang mempertimbangkan sekatan terhadap Indonesia selepas melucutkan hak penganjuran negara itu sebagai tuan rumah Piala Dunia Bawah 20 tahun, kata Ketua Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) Erick Thohir pada Jumaat.

FIFA menarik balik hak penganjuran Indonesia berikutan kemarahan beberapa ahli politik di negara yang majoritinya beragama Islam berhubung penyertaan Israel.

FIFA mengambil tindakan itu selepas PSSI berkata ia telah membatalkan undian untuk kejohanan tersebut kerana gabenor Bali meminta supaya pasukan Israel disingkirkan sebagai sokongan kepada Palestin.

Penyingkiran itu menimbulkan kemarahan dan kekecewaan di kalangan peminat dan pemain di negara Asia Tenggara yang cukup fanatik dengan sukan itu.

Erick pada sidang akhbar memberitahu sekatan terbesar yang mungkin dikenakan oleh FIFA ialah termasuk menghalang Indonesia daripada bersaing di peringkat antarabangsa.

“Saya sedang berusaha keras untuk berunding semula dengan FIFA supaya dapat mengelak daripada sekatan,” katanya.

Presiden Indonesia Joko Widodo tidak mahu negara itu "diasingkan" daripada dunia bola sepak.

Erick menambah, Widodo juga mengarahkan PSSI melakukan transformasi ke atas sukan itu di Indonesia selepas hak penganjuran ditarik

Bagaimanapun FIFA tidak memberi sebarang maklum balas lanjut setakat ini. - REUTERS

Media Baharu