fb fb fb fb fb

FBI serbu rumah Trump di Florida

FOTO AFP

PALM BEACH, 9 Ogos- Bekas presiden AS Donald Trump berkata kediamannya di Mar-A-Lago di Florida diserbu oleh ejen Biro Penyiasatan Persekutuan FBI pada Isnin dalam apa yang didakwanya sebagai "salah laku pendakwaan."

FBI enggan mengulas sama ada serbuan itu berlaku atau untuk tujuan apa, Trump juga tidak memberikan sebarang petunjuk mengapa ejen persekutuan berada di rumahnya, situasi yang menambah tekanan undang-undang ke atas bekas presiden itu.

"Ini adalah temph gelap bagi Negara kita, kerana rumah saya yang indah, Mar-A-Lago di Palm Beach, Florida, kini sedang dikepung, diserbu dan diduduki oleh sekumpulan besar ejen FBI," kata Trump dalam satu kenyataan yang disiarkan pada laman Truth Social beliau.

Rakaman udara menunjukkan kereta polis di luar kawasan itu.

"Ia adalah salah laku pendakwaan, menyalahgunakan sistem keadilan, dan serangan oleh Demokrat Kiri Radikal yang tidak mahu saya bertanding jawatan Presiden pada 2024," kata bekas presiden itu.

"Serangan seperti itu hanya boleh berlaku di negara-negara Dunia Ketiga yang rosak. Malangnya, Amerika kini telah menjadi salah satu daripada Negara tersebut," kata Trump sambil menambah: "Mereka malah menceroboh peti besi saya!"

Trump bagaimanapun dilaporkan tidak berada di kediaman tersebut ketika serbuan dilakukan.

Beberapa media AS memetik sumber yang rapat dengan penyiasatan sebagai berkata bahawa ejen sedang menjalankan carian yang dibenarkan mahkamah berkaitan dengan potensi salah laku kendalian dokumen sulit yang telah dihantar ke Mar-a-Lago.

Arkib Negara berkata pada Februari ia telah mendapatkan semula 15 kotak dokumen dari estet Trump di Florida, yang dilaporkan The Washington Post termasuk dokumeb yang sangat sulit, dibawa bersamanya ketika dia meninggalkan Washington berikutan kekalahannya dalam pemilihan semula.

Dokumen yang termasuk surat-menyurat daripada bekas presiden AS Barack Obama, sepatutnya mengikut undang-undang telah diserahkan pada penghujung jawatan presiden Trump tetapi sebaliknya berakhir di pusat peranginan Mar-a-Lago miliknya.

Pemulihan kotak itu menimbulkan persoalan tentang pematuhan Trump terhadap undang-undang rekod presiden yang digubal selepas skandal Watergate 1970-an yang memerlukan penghuni Oval Office untuk mengekalkan rekod yang berkaitan dengan aktiviti pentadbiran.

Arkib telah meminta agar Jabatan Kehakiman membuka siasatan terhadap amalan Trump.-AFP


(Rumah peranginan milik Donald Trump, di Palm Beach Florida / AFP)

Media Baharu