fb fb fb fb fb

EU umum pakej bantuan 500 juta euro, naik taraf infrastruktur tenaga di Western Balkan

(Ursula von der Leyen/Foto AFP)

SKOPJE, 27 Oktober- Kesatuan Eropah (EU) mengumumkan pakej bantuan 500 juta euro untuk menaik taraf infrastruktur tenaga di Western Balkan.

Pengumuman dibuat Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen ketika harga tenaga di rantau itu melonjak ekoran pencerobohan Rusia di Ukraine dan permulaan musim sejuk.

Ia sekali gus menjejaskan ekonomi Eropah yang sedang bergelut dengan peningkatan inflasi.

Menurutnya, buat permulaan sebanyak 80 juta euro bantuan diberikan kepada North Macedonia untuk membantu negara itu menangani kesan daripada lonjakan harga tenaga.

"Tetapi sudah tentu lebih banyak lagi akan datang. Contohnya terdapat 500 juta geran untuk seluruh rantau ini untuk melabur dalam sambungan tenaga, kecekapan tenaga dan tentu saja tenaga boleh diperbaharui", kata von der Leyen menekankan kepentingan bebas daripada bahan api fosil Rusia.

Sebahagian daripada sokongan adalah melalui pembelian bersama gas di pasaran global.

(Perdana Menteri North Macedonia, Dimitar Kovacevski (kanan) bersalaman dengan
Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen selepas sidang akhbar
di Skopje, pada 26 Oktober 2022/Foto AFP)

"Krisis tenaga dan ekonomi yang disebabkan oleh perang di Ukraine telah menyatukan Eropah.

"Hanya dengan bersatu kita boleh atasi kekurangan tenaga dan makanan", menurut Perdana Menteri North Macedonia, Dimitar Kovacevski.

Berita itu mungkin akan memberi kelegaan kepada banyak negara di seluruh Western Balkan, termasuk North Macedonia, yang pengeluaran elektrik domestik hanya memenuhi dua pertiga daripada keperluan tahunan negara.-AFP

Media Baharu