(Pesawat bomba cuba memadamkan kebakaran hutan berhampiran
perkampungan Ellinika di pulau Evia, Greece, 8 Ogos 2021/ REUTERS)
BRUSSELS, 31 Mei- Kesatuan Eropah (EU) akan menambah aset udara untuk memadam kebakaran bagi musim panas 2023.
Menurut Pesuruhjaya Pengurusan Krisis EU, Janez Lenarcic, ini susulan cabaran kebakaran hutan yang meningkat akibat krisis perubahan iklim.
Jelasnya, beberapa tahun kebelakangan ini telah menyaksikan cabaran terbesar setakat ini dengan purata peningkatan 350 peratus dalam permintaan untuk bantuan daripada program menyelamatnya.
Katanya, berlaku peningkatan dalam kekerapan kebakaran, khususnya di kawasan yang tidak terdedah sebelum ini.
(Anggota bomba Galicia memadamkan api ketika berlakunya kebakaran berikutan tempoh kemarau
yang berpanjangan dan suhu tinggi luar biasa, di Piedrafita, Asturias, Sepanyol, 31 Mac 2023/ REUTERS)
Untuk musim kebakaran hutan yang akan datang, rizab pesawat pemadam kebakaran akan merangkumi 24 pesawat dan empat helikopter dari 10 negara anggota.
Selain itu, 11 negara anggota akan menghantar hampir 450 anggota bomba yang akan berpangkalan di Perancis, Greece dan Portugal.
Eropah Selatan sedang bersiap sedia untuk musim panas yang dilanda kemarau dengan beberapa wilayah telah mengalami kekurangan air dan petani menjangkakan hasil terburuk mereka dalam beberapa dekad. - REUTERS