(Pertempuran yang meletus di Sudan/Foto fail Reuters)
GENEVA, 30 Mei- Kira-kira 17,000 tan metrik bantuan makanan untuk golongan yang memerlukan di Sudan dirompak sejak pertempuran meletus, enam minggu lalu.
Perkara itu dimaklumkan Pengarah Program Makanan Sedunia (WFP), Eddie Rowe pada Selasa.
Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan bantuan mengatakan meski gencatan senjata dikuatkuasa, mereka terus berjuang untuk mendapatkan kelulusan birokrasi dan jaminan keselamatan menghantar bantuan dan kakitangan ke Khartoum serta tempat lain yang memerlukan.
(Pengarah Program Makanan Sedunia (WFP), Eddie Rowe/Foto Reuters)
Menurut WFP mereka telah memulakan pengagihan selama tiga hari di ibu negara itu pada Sabtu dan telah mencapai lebih 12,000 orang di Omdurman, iaitu kawasan yang dikawal tentera dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF).
Pihaknya menyasarkan bantuan kepada sekurang-kurangnya 500,000 orang di Khartoum.
Dalam pada itu, WFP menjangkakan lebih 2.5 juta orang di Sudan akan mengalami kelaparan dalam beberapa bulan akan datang.
Sementara itu, Jurucakap UNICEF, James Elder berkata 13.6 juta kanak-kanak di Sudan memerlukan bantuan segera, dengan ratusan daripada mereka telah meninggal dunia dan beribu lagi cacat.-REUTERS