fb fb fb fb fb

EU panggil utusan Rusia, gesa siasatan bebas kematian Navalny

Foto REUTERS

BRUSSELS, 21 Februari- Kesatuan Eropah (EU) memanggil wakil Rusia dan menggesa siasatan antarabangsa yang bebas dijalankan berhubung kematian ketua pembangkang Alexei Navalny.

Perkhidmatan Diplomatik EU berkata, Pegawai Kanan Perkhidmatan Tindakan Luar Eropah, Michael Siebert menggesa Rusia untuk melepaskan mayat Navalny kepada keluarganya dengan segera semasa pertemuan dengan Pemangku Wakil Tetap Rusia ke EU, Kirill Loginov.

"Pihak EU menyampaikan kemarahannya berhubung kematian ahli politik pembangkang Rusia Alexei Navalny, yang mana tanggungjawab utama terletak pada Presiden (Vladimir) Putin dan pihak berkuasa Rusia," katanya.

Siebert juga menggesa Rusia untuk membenarkan siasatan antarabangsa yang bebas dan telus mengenai kematian Navalny, tambahnya.

Kremlin bagaimanapun, menafikan sebarang penglibatan dalam kematian Navalny dan mengatakan dakwaan Barat bahawa Presiden Putin bertanggungjawab adalah tidak benar.

Jawatankuasa Penyiasatan Rusia menyatakan telah menjalankan siasatan prosedur ke atas kematian itu dan Kremlin menegaskan ia tidak tunduk kepada tuntutan EU.

Navalny, 47, rebah dan meninggal dunia secara mengejut pada Jumaat selepas berjalan-jalan di perkarangan penjara Artik, tempat dia menjalani hukuman selama tiga dekad, kata Perkhidmatan Penjara Rusia.

EU semakin hampir untuk mengenakan sekatan baharu terhadap Moscow kerana peperangan dengan Ukraine, ketika balu Navalny melawat Brussels. Amerika Syarikat akan mengumumkan sekatan terhadap Rusia pada hari Jumaat atas kematian Navalny.

Dalam pada itu, Kerajaan Belgium juga berkata telah memanggil Duta Rusia berhubung kematian Navalny dan menggesa siasatan bebas dijalankan.-REUTERS

ROSLINA BINTI DIN