fb fb fb fb fb

EU cadang peraturan baharu lindungi kebebasan media

(Bendera Kesatuan Eropah berkibar di luar ibu pejabat Suruhanjaya
EU di Brussels/REUTERS)

BRUSSELS, 16 September- Suruhanjaya Eropah bercadang memperkenalkan sekumpulan peraturan baharu bagi memastikan kebebasan media daripada campur tangan pihak berkuasa.

Ia berikutan campur tangan yang semakin membimbangkan di negara-negara EU timur seperti Hungary.

Menurut Brussels, televisyen awam di Hungary secara meluas dilihat sebagai jurucakap kepada Perdana Menteri Viktor Orban.

Pluralisme media juga menjadi kebimbangan di Republik Czech dengan bekas Perdana Menteri Andrej Babis memiliki kumpulan media utama dan dituduh menggunakan akhbarnya untuk menyerang integriti saluran berita lain.

"Akta Kebebasan Media Eropah akan menyediakan perlindungan bersama untuk menjamin bahawa media kami dapat beroperasi tanpa sebarang gangguan, sama ada peribadi atau awam," kata pesuruhjaya EU, Thierry Breton.

"Kami mencadangkan peraturan yang akan terpakai secara menyeluruh di Eropah dengan cara yang sama dan mengikut peraturan yang sama," katanya.

(EU cadang peraturan baharu lindungi kebebasan media/AFP)

Salah satu komponen utama undang-undang itu ialah pembentukan pihak berkuasa baharu yang akan membenarkan 27 negara EU memerhatikan penggabungan media yang akan menjejaskan kepelbagaian pemilikan media.

Ia juga akan menuntut agar pembiayaan media kerajaan "mencukupi dan stabil" bagi menghalang kerajaan menggunakan peruntukan belanjawan untuk menekan syarikat media dan bilik berita milik awam.

Peraturan itu, yang perlu diluluskan oleh negara anggota EU dan Parlimen Eropah, juga memerlukan kerajaan negara anggota meluluskan undang-undang yang menjamin perlindungan sumber kewartawanan dengan secukupnya.

Badan pemantau seluruh Eropah akan terdiri daripada pengawal selia nasional yang akan memastikan penguatkuasaan undang-undang yang betul di seluruh EU.

Mereka juga akan menyelaraskan tindak balas EU terhadap media bukan EU, sumber utama kebimbangan selepas kesukaran untuk menyelaraskan respons bersatu terhadap kehadiran Russia Today, saluran televisyen yang dibiayai Kremlin, pada hari-hari selepas pencerobohan Ukraine oleh Rusia.

"Kami mahu ia digunakan secepat mungkin kerana kami menganggapnya sebagai perkara yang sangat mendesak," kata Naib Presiden Suruhanjaya EU Vera Jourova. -AFP

Media Baharu