fb fb fb fb fb

Lawatan Sultan Ibrahim perkukuh hubungan strategik Malaysia-Tatarstan

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah demikian selepas berkenan menerima mengadap Rais (Presiden) Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov, di Kazan Kremlin, hari ini/Foto Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KAZAN, 8 Ogos - Lawatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, ke Kazan memberikan dorongan baharu dalam usaha memperkukuh hubungan erat antara Malaysia dan Tatarstan.

Melangkah ke hadapan, Seri Paduka Baginda percaya terdapat potensi besar untuk Malaysia memperdalamkan kerjasama ekonomi dalam bidang petrokimia, inovasi, kewangan Islam dan sektor Halal.

Sultan Ibrahim bertitah, kepemimpinan cemerlang Rais (Presiden) Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov, dalam Kumpulan Visi Strategik “Rusia-Dunia Islam” menjadi bukti komitmen teguh Rais dalam memajukan Ummah Islam.

“Lawatan saya ke Kazan terus mencerminkan komitmen Malaysia meneruskan aspirasi bersama memperkukuhkan kerjasama dengan Tatarstan.

“Saya juga berasa gembira melihat hubungan ekonomi serta hubungan antara rakyat Malaysia dan Tatarstan yang semakin berkembang,” titah Seri Paduka Baginda.

Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian selepas berkenan menerima mengadap Rustam, di Kazan Kremlin, hari ini.

Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim ke Kazan, merupakan sebahagian daripada Lawatan Negara Seri Paduka Baginda ke Persekutuan Rusia sejak 5 Ogos lalu.

Republik Tatarstan merupakan salah sebuah republik autonomi Persekutuan Rusia dengan majoriti penduduk beragama Islam.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama kukuh dalam bidang akademik, termasuk penyelidikan bersama antara universiti di Malaysia dan Kazan.

Ini termasuk menjalankan penyelidikan bersama dalam bidang-bidang baharu seperti kejuruteraan, tenaga dan sains komputer.

“Saya secara khusus menghargai kerjasama berterusan antara Universiti Persekutuan Kazan dan Universiti Penyelidikan Teknologi Nasional Kazan dengan Universiti Teknologi Malaysia,” titah Seri Paduka Baginda.

Rustam turut menghoskan Seri Paduka Baginda dalam satu majlis santapan minum petang.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI