ANKARA, 20 Ogos- Sembilan negara Kesatuan Eropah (EU) semalam menyuarakan kebimbangan terhadap serbuan Israel ke atas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Palestin pada Khamis.
Menerusi satu kenyataan bersama Kementerian Luar Belgium, Denmark, Perancis, Jerman, Ireland, Itali, Belanda, Sepanyol dan Sweden menyatakan pertubuhan awam yang bebas dan kuat amat diperlukan untuk menggalakkan nilai demokrasi dan penyelesaian dua negara.
Menurut kenyataan itu, penglibatan NGO yang semakin kurang dan terhad di Wilayah Palestin yang diduduki terus menjadi kebimbangan.
Israel didakwa tidak memberikan alasan yang kukuh terhadap langkah mereka mengkaji semula dasar ke atas enam NGO Palestin dan menyenaraikan pertubuhan itu sebagai "organisasi pengganas."
Anggota pasukan keselamatan Israel mengambil kedudukan di tengah-tengah
pertempuran dengan penunjuk perasaan Palestin / FOTO AFP
"Jika ada bukti yang meyakinkan mengapa tindakan itu diambil kami boleh mengambil tindakan sewajarnya," menurut kenyataan itu.
Pada Khamis, tentera Israel menyerbu dan mengarahkan penutupan NGO Palestin di bandar Ramallah dan Al-Bireh Tebing Barat. -AFP