ANKARA, 15 Mei – Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy mengadakan pertemuan dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, di ibu negara Turkiye hari ini bagi membincangkan usaha damai dalam konflik berpanjangan antara Rusia dan Ukraine.
Rundingan itu berlangsung dalam suasana tidak menentu, susulan ketidakhadiran Presiden Rusia, Vladimir Putin yang memilih untuk menghantar pasukan peringkat kedua terdiri daripada pembantu dan timbalan menteri ke Istanbul.
Kehadiran delegasi Rusia itu dikatakan sebagai reaksi terhadap cabaran Kiev agar Putin hadir sendiri untuk bertemu Zelenskiy.
Ketiadaan pemimpin Kremlin itu telah menimbulkan kekeliruan berhubung prospek rundingan bersemuka pertama antara kedua-dua pihak sejak peringkat awal perang.
Rusia mendakwa rundingan akan berlangsung di Istanbul pada separuh hari kedua, namun pihak Turkiye menafikan sebarang jadual pertemuan rasmi ditetapkan.
Zelenskiy, sebaik tiba di Ankara, menyifatkan kehadiran delegasi Rusia tanpa pemimpin utama sebagai “sekadar hiasan.”
Beliau menegaskan keputusan lanjut Ukraine mengenai rundingan dengan Rusia hanya akan dibuat selepas pertemuan dengan Erdogan selesai.
Dalam kenyataan balas, Rusia memaklumkan pasukan mereka telah tiba di Istanbul dan bersedia untuk mengadakan rundingan secara serius. Moscow turut menuduh Kiev cuba menjadikan proses itu sebagai “pertunjukan” politik.-REUTERS