fb fb fb fb fb

China desak AS hentikan tarif Seksyen 232

Foto Hiasan / Reuters

BEIJING, 15 Mei – China menggesa Amerika Syarikat (AS) supaya menghentikan segera langkah tarif berdasarkan Seksyen 232, yang disifatkan sebagai tindakan bersifat unilateral dan proteksionis, kata jurucakap Kementerian Perdagangan, He Yongqian.

Gesaan itu dibuat susulan pertanyaan media berhubung penggunaan Seksyen 232 Akta Pengembangan Perdagangan 1962 oleh kerajaan Amerika Syarikat bagi mengenakan tarif ke atas kenderaan, keluli dan aluminium yang diimport, serta memulakan siasatan terhadap farmaseutikal import.

“Berhubung tarif Seksyen 232 oleh Amerika Syarikat terhadap kereta, keluli dan aluminium yang diimport, serta siasatan Seksyen 232 ke atas farmaseutikal import, China berpendapat bahawa tindakan Amerika Syarikat itu merupakan contoh tipikal unilateralism dan proteksionisme,” kata He dalam satu sidang media.

Menurut beliau, langkah tersebut bukan sahaja menjejaskan hak dan kepentingan negara lain, malah turut melemahkan sistem perdagangan pelbagai hala yang berasaskan peraturan.

“Ia juga tidak membawa sebarang manfaat kepada pembangunan industri domestik Amerika Syarikat sendiri. China menggesa Amerika Syarikat supaya menghentikan langkah tarif Seksyen 232 dengan segera dan menangani kebimbangan semua pihak secara adil melalui dialog yang setara,” tegasnya.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN