KIEV, 7 Jun- Rusia melancarkan serangan besar-besaran ke atas ibu negara Ukraine, Kiev, pada awal pagi Jumaat, mengorbankan sekurang-kurangnya enam orang, menurut pegawai Ukraine. Letupan kuat turut kedengaran di seluruh negara.
Serangan itu berlaku selepas amaran daripada Presiden Rusia, Vladimir Putin, yang disampaikan melalui Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bahawa Kremlin akan bertindak balas selepas beberapa pesawat pengebom strategik Rusia dimusnahkan oleh Ukraine dalam serangan ke wilayah Rusia.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, berkata tiga anggota pasukan kecemasan terbunuh dalam serangan peluru berpandu dan dron tersebut di Kiev.
Manakala, dua lagi mangsa maut dalam serangan di bandar utara Chernihiv dan sekurang-kurangnya seorang terbunuh di bandar barat laut Lutsk.
“Mangsa yang terkorban di Kiev adalah anggota penyelamat yang tiba di lokasi serangan awal, malangnya terbunuh dalam serangan berulang Rusia,” kata Zelenskiy menerusi ucapan dalam sebuah video.
Menurut Zelensky, serangan tersebut turut menyebabkan seramai 80 orang cedera di seluruh negara yang turut mengenai beberapa kawasan. Beliau berkata, terdapat kemungkinan penduduk terperangkap di bawah runtuhan bangunan.
Sementara itu, Menteri Luar Ukraine, Andrii Sybiha, menerusi platform X berkata Rusia telah bertindak balas terhadap pesawatnya yang musnah dengan menyerang orang awam di Ukraine dan menyasarkan bangunan bertingkat serta infrastruktur tenaga turut rosak.
Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan Rusia mendakwa bahawa serangan itu menyasarkan sasaran ketenteraan dan berkaitan ketenteraan sebagai tindak balas terhadap serangan Ukraine.- REUTERS