fb fb fb fb fb

Empat negara Eropah sokong rancangan pulih Gaza

Foto REUTERS

ROM, 10 Mac- Menteri-menteri luar dari empat negara Eropah iaitu Perancis, Jerman, Itali, dan Britain pada Jumaat mengeluarkan kenyataan bersama menyatakan sokongan terhadap rancangan pemulihan Gaza yang dirangka oleh Mesir.

"Pelan ini menawarkan laluan realistik untuk membangunkan semula Gaza.

"Jika dilaksanakan, akan membawa peningkatan yang cepat dan berterusan kepada keadaan hidup rakyat Palestin yang kini dalam keadaan kritikal," menurut kenyataan bersama itu.

Kenyataan empat negara Eropah itu menegaskan komitmen mereka untuk bekerjasama dengan Arab serta memuji Liga Arab atas peranannya dalam menerima pakai pelan tersebut sebagai “isyarat penting”.

Menurut rancangan Mesir, selepas berakhirnya konflik Israel-Hamas di Gaza, sebuah "Misi Sokongan Pentadbiran" akan ditubuhkan, terdiri daripada pakar Palestin yang bebas untuk mentadbir wilayah tersebut.

Misi berkenaan yang beroperasi di bawah pengawasan pihak berkuasa Palestin, akan bertanggungjawab terhadap pengurusan bantuan kemanusiaan dan pentadbiran sementara Gaza.

Rancangan pemulihan itu turut diterima pakai oleh Liga Arab dalam sidang kemuncak tergempar pada 4 Mac.

Namun, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang mencadangkan Gaza diletakkan di bawah pentadbiran AS dan diubah menjadi "Riviera Timur Tengah", menolak cadangan terbabit.- REUTERS

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM