JAKARTA, 20 Oktober- Empat orang maut selepas sebuah pesawat terhempas di wilayah Gorontalo, Pulau Sulawesi, Indonesia, pagi tadi.
Pesawat jenis de Havilland Canada DHC-6 Twin Otter 300 yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan tempatan, SAM Air, dilaporkan hilang kawalan sebelum terhempas.
Kejadian berlaku sejurus selepas pesawat berlepas pada pukul 7.30 pagi waktu tempatan.
Ia berlepas dari Lapangan Terbang Djalaluddin Gorontalo menuju ke Lapangan Terbang Bumi Panua Pohuwato, namun terputus hubungan dengan kawalan trafik udara tidak lama kemudian.
Mangsa maut dikenal pasti sebagai Kapten M. Saefu Rubi, pembantu juruterbang M. Artur F.G., jurutera Budi Janto dan penumpang Sri Mayke.
Kesemua mayat telah dibawa ke Pusat Kesihatan Komuniti Randangan untuk tindakan lanjut. Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca nahas. -Reuters