fb fb fb fb fb

Bumbung restoran popular di Mallorca runtuh, empat nyawa terkorban

FOTO AFP

PALMA, 24 Mei- Bumbung sebuah restoran di pulau pelancongan terkenal Sepanyol, Mallorca runtuh pada Khamis, mengakibatkan empat orang terbunuh dan 21 yang lain cedera, kata penyelamat tempatan.

"Terdapat empat maut dan sekitar 21 cedera," kata jurucakap perkhidmatan kecemasan sambil menambah mangsa membabitkan warganegara beberapa negara.

Perkhidmatan kecemasan menulis di platform media sosial X bahawa tujuh daripada mangsa berada dalam keadaan kritikal dan sembilan lagi mengalami kecederaan serius, dengan mangsa ditempatkan di beberapa hospital berbeza.

Bangunan dua tingkat di kawasan Playa de Palma di selatan ibu kota pulau Mediterranean itu, Palma de Mallorca itu runtuh lewat petang Khamis.

Pasukan penyelamat terus bekerja di tempat kejadian untuk mencari lebih banyak orang yang tersepit di bawah runtuhan.

Punca sebenar runtuhan masih tidak diketahui.

Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa di X, berkata dia mengikut rapat perkembangan tragedi runtuhan yang dahsyat itu.

Beliau berkata, kerajaan pusat bersedia untuk menghantar semua sumber yang diperlukan untuk membantu pihak berkuasa wilayah di lokasi kejadian.

Mallorca terkenal dengan perairan dan pantainya yang bersih, dan Kepulauan Balearic menarik lebih ramai pelancong daripada semua wilayah Sepanyol selepas Catalonia.

Lebih 14 juta pelancong melawat pulau itu tahun lepas, menurut angka rasmi.

Pada 2009, tragedi runtuhan bangunan tiga tingkat di Palma de Mallorca pada 2009 mengorbankan tujuh orang, termasuk dua warga Jerman dan tiga warga Colombia.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE