fb fb fb fb fb

Empat maut, 19 hilang selepas bot terbalik di Kashmir

Pasukan penyelamat menggunakan bot getah yang disertai komando marin bertungkus-lumus mencari mangsa yang terselamat ketika ratusan anggota keluarga yang bimbang berkumpul di tebing sungai selepas kemalangan itu / Foto Reuters

SRINAGAR, 16 April - Empat orang maut dan sekurang-kurangnya 19 lagi hilang selepas sebuah bot yang membawa mereka untuk menyeberangi sungai terbalik di Kashmir.

Mereka yang hilang termasuk beberapa kanak-kanak yang dalam perjalanan ke sekolah apabila bot itu terbalik di sungai Jhelum, di bandar Srinagar.

Pasukan penyelamat menggunakan bot getah yang disertai komando marin bertungkus-lumus mencari mangsa yang terselamat ketika ratusan anggota keluarga yang bimbang berkumpul di tebing sungai selepas kemalangan itu.

"Empat orang maut manakala tiga yang lain sedang dirawat dalam tragedi tersebut," kata Muzaffar Zargar, penguasa hospital utama bandar itu, kepada wartawan.

Sekurang-kurangnya 26 orang berada di atas bot itu apabila ia terbalik, kata seorang pegawai tinggi di Kashmir memberitahu AFP.

Hujan yang turun berhari-hari merentasi lembah Kashmir telah melimpahi sungai itu.

Bot kecil itu tidak mempunyai motor namun anak kapal telah mendorong bot tersebut di antara dua tebing sungai dengan menarik tali yang dipasang di kedua-dua hujungnya.

Seorang saksi berkata, tali itu terputus ekoran arus sungai yang mengalir deras.

“Saya amat berdukacita dengan kehilangan nyawa akibat kemalangan bot di Srinagar,” kata pegawai tinggi politik, Kashmir Manoj Sinha dalam satu catatan di platform media sosial X.

"Fikiran saya kepada keluarga yang sedang berduka," katanya, sambil menambah bahawa "semua bantuan yang bersesuaian akan diberikan kepada saudara-mara mereka yang maut.

Ramai pekerja pejabat dan pelajar sekolah menaiki bot menyeberangi sungai pada waktu pagi untuk mengelak kesesakan jalan raya.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN