fb fb fb fb fb

Empat askar AS hilang semasa latihan di Lithuania

Foto Reuters

VILNIUS, 27 Mac – Empat askar Amerika Syarikat (AS) dilaporkan hilang semasa latihan ketenteraan di Lithuania, menurut kenyataan pihak komando AS di Eropah dan tentera negara Baltik itu hari ini.

Pasukan tentera Lithuania dan asing telah dikerahkan bagi mencari askar yang hilang, dengan bantuan helikopter daripada pasukan udara serta perkhidmatan pengawal sempadan negara.

Menurut tentera Lithuania, kejadian berlaku di sebuah kawasan latihan ketenteraan di bahagian timur negara itu.

"Satu lokasi yang berkemungkinan kini telah dikenal pasti, dan operasi mencari serta menyelamat sedang dijalankan," menurut kenyataan tentera Lithuania.

Pihak berkuasa menerima laporan mengenai kehilangan askar-askar tersebut petang semalam.

Pejabat Hal Ehwal Awam Tentera AS di Eropah dan Afrika mengesahkan bahawa askar-askar berkenaan "sedang menjalankan latihan taktikal yang telah dijadualkan ketika kejadian berlaku".

Komander Kor V, Leftenan Jeneral Charles Costanza, merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Lithuania atas bantuan pantas dalam operasi pencarian.

Lithuania, yang merupakan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Kesatuan Eropah (EU), menempatkan lebih 1,000 askar Amerika Syarikat secara berkala.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN