fb fb fb fb fb

Emirates umum tempahan untuk 15 pesawat Airbus A350-900

FOTO HIASAN

DUBAI, 16 November- Syarikat penerbangan, Emirates yang berpangkalan di Dubai pada Khamis mengumumkan tempahan untuk 15 Airbus A350-900 jarak jauh, menjadikan 110 bilangan pesawat tambahan yang ditempah syarikat itu pada Pameran Udara Dubai tahun ini.

"A350-900s akan menambah gabungan armada kami dan kami berbesar hati mengumumkan tempahan tambahan untuk jenis pesawat ini," kata ketua eksekutif Emirates Sheikh Ahmed bin Saeed Al Maktoum dalam satu kenyataan.

"Kami merancang untuk menggunakan A350 kami untuk melayani pelbagai pasaran baharu termasuk misi jarak jauh sehingga 15 jam penerbangan dari Dubai."

Perjanjian itu bernilai AS$6 bilion, dan Emirates telah komited untuk membelanjakan AS$58 bilion untuk pesawat baharu pada acara tahun ini di Dubai, kata kenyataan itu.

Pada Isnin, Emirates mengumumkan tempahan yang lebih besar, bernilai AS$52 bilion, untuk 55 Boeing 777-9s, 35 777-8s dan lima 787 Dreamliners.

Syarikat penerbangan saudaranya flydubai, syarikat penerbangan tambang murah, secara berasingan menempah 30 Boeing 787-9 bernilai AS$63 bilion.

Ketua pegawai komersial Airbus Christian Scherer berkata dalam satu kenyataan bahawa perjanjian pada Khamis mewakili "satu lagi langkah kukuh ke hadapan dalam perjanjian hubungan antara Emirates dan Airbus".

Beliau menambah: "Sama seperti A380 menjadi pusat operasi Emirates, kami turut berbangga dengan apa yang akan dilakukan oleh A350 pada tahun-tahun akan datang."-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE