fb fb fb fb fb

Emirates catat untung kasar rekod AS$6.2 bilion, tiga tahun berturut

FOTO HIASAN / AFP

DUBAI, 8 Mei- Kumpulan Emirates, yang merangkumi syarikat penerbangan terbesar di Asia Barat, hari ini mengumumkan keuntungan kasar tahunan berjumlah AS$6.2 bilion, angka tertinggi pernah dicapai, sekali gus menandakan tahun ketiga berturut-turut dengan rekod keuntungan baharu.

Kenaikan keuntungan sebanyak 18 peratus itu dipacu oleh permintaan penumpang yang kukuh, namun jumlahnya menyusut kepada AS$5.6 bilion selepas cukai korporat baharu yang diperkenalkan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) mula dikuatkuasakan secara penuh tahun kewangan ini.

“Emirates Group telah menetapkan penanda aras baharu dalam keuntungan, hasil dan aset tunai,” kata Pengerusinya, Sheikh Ahmed bin Saeed Al Maktoum dalam kenyataan rasmi.

Menurut beliau, kumpulan itu telah melabur sebanyak AS$3.8 bilion dalam pembelian pesawat baharu, infrastruktur dan teknologi untuk menyokong pelan pengembangan masa depannya. Jumlah tenaga kerja juga meningkat sembilan peratus kepada 121,223 orang, tertinggi pernah dicatatkan oleh syarikat itu.

Kumpulan tersebut turut mengisytiharkan dividen berjumlah AS$1.6 bilion kepada pemiliknya, Investment Corporation of Dubai (ICD).

Sementara itu, Emirates Airline sahaja, tidak termasuk cabang perniagaan lain dalam kumpulan, merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak AS$5.8 bilion, meningkat 20 peratus berbanding tahun sebelumnya. Pendapatannya juga naik enam peratus kepada AS$34.9 bilion.

Unit perkhidmatan daratnya, Dnata, turut mencatatkan keuntungan sebelum cukai tertinggi sebanyak AS$430 juta, meningkat dua peratus.

Emirates kini mengendalikan syarikat penerbangan jarak jauh terbesar di dunia dan memiliki 314 pesawat dalam senarai tempahan, termasuk 61 Airbus A350 dan 205 Boeing 777X. Kumpulan itu juga sedang melaksanakan kerja naik taraf ke atas 219 pesawat dengan kos AS$5 bilion, sebagai langkah mengimbangi kelewatan penghantaran pesawat baharu.

Sheikh Ahmed sebelum ini memaklumkan, 90 peratus daripada armada Emirates akan dinaik taraf untuk memastikan kelestarian operasi jangka panjang.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE