fb fb fb fb fb

Pakistan lancar serangan, India bertindak balas musnahkan sistem pertahanan udara di Lahore

Sebuah bangunan di Lahore musnah akibat serangan oleh India / REUTERS

NEW DELHI, 8 Mei- Kerajaan India hari ini mendakwa Pakistan telah melancarkan serangan udara secara mengejut pada waktu malam menggunakan dron dan peluru berpandu, sebelum New Delhi bertindak balas dengan memusnahkan sistem pertahanan udara di Lahore.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan India, beberapa sasaran ketenteraan telah dicuba untuk diserang oleh Pakistan termasuk di wilayah Jammu dan Kashmir yang ditadbir India, serta negeri Punjab termasuk bandar utama seperti Amritsar, Ludhiana, dan Chandigarh selain Bhuj di negeri Gujarat.

“Sistem pertahanan udara India berjaya meneutralkan kesemua ancaman tersebut. Serpihan dari serangan ini kini sedang dikumpulkan dari beberapa lokasi,” kata kenyataan itu.

Sebagai tindakan balas, India memaklumkan telah menyerang beberapa lokasi sistem radar dan pertahanan udara di Pakistan pada pagi Khamis.

Serangan balas itu, menurut kementerian, dilaksanakan dalam "domain yang sama dan dengan intensiti yang sama seperti serangan Pakistan".

Ia turut menyebut maklumat risikan mendapati sistem pertahanan udara Pakistan di Lahore telah berjaya dineutralkan.

India turut menuduh Pakistan meningkatkan serangan tanpa provokasi melintasi Garisan Kawalan (LoC) menggunakan mortar dan artileri berat, khususnya di kawasan Jammu dan Kashmir.

Dalam perkembangan berkaitan, angka korban di pihak India akibat peningkatan keganasan sejak Rabu meningkat kepada 16 orang, termasuk tiga wanita dan lima kanak-kanak.

Bagaimanapun, India menegaskan komitmennya untuk tidak meningkatkan konflik, "selagi prinsip itu dihormati oleh tentera Pakistan".-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE