fb fb fb fb fb

Elak kepupusan koala, Australia umum larangan pembalakan

(FOTO AFP)

SYDNEY, 12 September - Negeri yang paling ramai penduduk di Australia mengumumkan larangan pembalakan di kawasan perlindungan hutan bagi tujuan melindungi penduduk tempatan dan koala terjejas.

Pembalakan telah dihentikan di kawasan seluas 8,400 hektar (21,000 ekar) hutan, menempatkan 106 "hab koala", kata kerajaan New South Wales.

Kawasan yang menjadi populasi terbanyak koala itu akan menjadi bahagian penting dalam rancangan Taman Negara Great Koala seluas 315,000 hektar di pantai utara tengah dan "menyelamatkan koala daripada kepupusan di negeri ini", katanya.

(FOTO AFP)

Tindakan itu merupakan "langkah bersejarah ke hadapan", kata pemangku ketua eksekutif Majlis Pemuliharaan Alam Semula Jadi, Brad Smith yang menyifatkan kawasan itu sebagai "habitat koala paling penting di dunia".

"Keputusan ini juga merupakan satu pengiktirafan bahawa pembalakan mempunyai kesan buruk terhadap koala dan kepelbagaian biologi," tambahnya.

Jurucakap WWF Australia, Dr Stuart Blanch berkata bilangan koala di New South Wales telah mengalami kemerosotan dramatik jatuh lebih 50 peratus antara 2000 dan 2020 akibat penebangan hutan, kemarau dan kebakaran belukar.

Tindakan kerajaan itu "adalah peluang untuk mengubah tragedi ini", katanya.

"Sekiranya kita akan menyelamatkan koala daripada kepupusan abad ini, maka kita memerlukan kawasan perlindungan baharu yang luas meliputi berjuta-juta hektar hutan."

Pencinta alam sekitar menyeru agar pembalakan dihentikan di seluruh kawasan Taman Negara Great Koala.-AFP

Media Baharu