LOS ANGELES, 14 Disember- California telah memohon maaf kerana membenarkan seorang individu di negeri itu mendaftarkan plat nombor kenderaan yang mengejek serangan pada 7 Oktober di Israel.
Permohonan maaf itu dibuat selepas kumpulan aktivis StopAntisemitism melaporkan sebuah Tesla Cybertruck yang dilihat di sekitar Los Angeles dengan plat nombor bertulis "LOLOCT7," yang menurut mereka meraikan "keganasan terhadap orang Yahudi."
"LOL" adalah singkatan biasa bagi "laughing out loud" (ketawa terbahak-bahak).
Jabatan Kenderaan Bermotor (DMV) California menyatakan di media sosial pada hari Khamis bahawa mereka akan bertindak untuk membatalkan plat tersebut, yang melanggar peraturan mereka sendiri.
"Ini tidak dapat diterima dan sangat mengganggu," tulis agensi itu di X, platform yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter.
"DMV sedang mengambil tindakan pantas untuk menarik balik plat mengejutkan ini, dan kami akan segera memperkukuh proses semakan dalaman kami untuk memastikan kesilapan besar seperti ini tidak berulang lagi.
"Kami dengan tulus memohon maaf kerana plat peribadi ini tidak ditolak dengan betul semasa proses semakan kami."
Terdapat lebih daripada 30 juta kenderaan di California, dan kebanyakan daripadanya menggunakan plat nombor biasa.
Namun, DMV membenarkan pemandu dengan bayaran tambahan untuk pemilik kenderaan menjadikan nompbor plat mereka lebih peribadi, asalkan mesej yang dihasilkan tidak "mempunyai konotasi yang menyinggung rasa dan kesopanan," menurut laman web mereka.
Contoh plat yang diharamkan termasuk kata-kata kesat serta istilah yang merendahkan kaum atau etnik.