PARIS, 14 Disember-Perdana Menteri baharu Perancis, Francois Bayrou, berkata beliau menghadapi cabaran besar untuk menangani defisit negara.
Pada Jumaat. Presiden Emmanuel Macron melantik Bayrou sebagai Perdana Menteri keempat Perancis pada tahun 2024 memberikan tanggungjawab kepadanya untuk membawa Perancis keluar dari krisis politik kedua dalam tempoh enam bulan.
Bayrou menggantikan Michel Barnier, yang disingkirkan oleh ahli parlimen minggu lalu kerana cubaan meluluskan bajet 2025 yang berorientasikan pemotongan kos.
Bayrou, yang pernah menjadi calon calon presiden sebanyak tiga kali sering memberi amaran berkaitan perbelanjaan fiskal Perancis yang berlebihan, kini mewarisi parlimen sama yang telah menumbangkan Barnier.
Hubungannya rapat dengan Macron, yang semakin tidak popular, juga mungkin menyukarkan tugasnya.
Dalam ucapan bersama Barnier pada Jumaat, Bayrou mengakui cabaran besar di hadapannya.
“Tiada siapa yang lebih memahami kesukaran situasi ini berbanding saya.
"Saya tidak menafikan cabaran sebesar Himalaya yang berada di hadapan kita,” katanya.
“Saya percaya isu defisit dan hutang ini bukan sekadar masalah kewangan, tetapi juga persoalan moral.”
Usaha untuk mengawal defisit negara, yang dijangka mencecah lebih 6% daripada KDNK pada akhir tahun, menjadi punca utama kepada krisis politik Perancis.
Krisis tersebut menimbulkan persoalan sama ada Macron mampu melengkapkan penggal keduanya sebagai presiden sehingga tahun 2027, meningkatkan kos pinjaman Perancis, dan mewujudkan kekosongan kuasa di tengah Eropah ketika Donald Trump bersiap untuk kembali ke Rumah Putih.
Keutamaan utama Bayrou adalah meluluskan undang-undang khas bagi melanjutkan bajet 2024, sementara pertempuran yang lebih sengit untuk bajet 2025 dijangka bermula awal tahun depan.
Bayrou menyatakan hasratnya untuk bergerak pantas, tetapi perpecahan politik di Perancis mungkin melambatkan proses pembentukan kabinetnya.
Bayrou, pengasas parti Gerakan Demokratik (MoDem) yang menjadi sebahagian daripada gabungan parti Macron sejak 2017, merupakan bekas Datuk Bandar Pau.
Namun, reaksi bercampur terhadap pelantikan Bayrou menunjukkan beliau mungkin terpaksa bertahan dari hari ke hari dengan bergantung pada sokongan lawan politik Macron.
Macron berharap Bayrou dapat mengelak undi tidak percaya sehingga sekurang-kurangnya Julai, apabila Perancis berpeluang mengadakan pilihan raya parlimen baharu. Tetapi jalan ke arah itu dijangka penuh cabaran.
Bayrou pernah dilantik sebagai menteri kehakiman oleh Macron pada 2017 tetapi meletakkan jawatan hanya beberapa minggu kemudian kerana siasatan terhadap dakwaan penipuan penggunaan pembantu parlimen partinya. Beliau telah dibebaskan daripada tuduhan tersebut pada tahun ini.-REUTERS.