fb fb fb fb fb

Ecuador rancang bina dua penjara keselamatan tinggi baharu

Daniel Noboa (TENGAH) bercakap dalam klip video memperincikan rancangan pembinaan penjara baharu / REUTERS

QUITO, 12 Januari- Presiden Ecuador Daniel Noboa memperincikan rancangan untuk membina dua penjara keselamatan tinggi baharu.

Langkah itu adalah sebahagian daripada ikrarnya dalam melancarkan perang terhadap kumpulan dadah yang bertanggungjawab atas gelombang keganasan dan penahanan hampir 180 kakitangan penjara oleh banduan.

Penjara itu, yang akan dibina di wilayah Pastaza dan Santa Elena, bakal menempatkan seramai 736 banduan, terbahagi antara tiga bahagian iaitu keselamatan tinggi, keselamatan maksimum dan keselamatan super maksimum, kata pejabat Noboa dalam satu kenyataan.

Pembinaan penjara berkenaan adalah permulaan pemulihan segera sistem penjara, kata Noboa dalam satu video, sambil menambah undang-undang yang lebih keras, hakim yang jujur ​​dan peluang untuk mengekstradisi penjenayah yang dikehendaki juga diperlukan.

Peningkatan dramatik dalam keganasan sepanjang minggu ini termasuk pencerobohan membabitkan sebuah stesen TV, letupan di beberapa bandar, dan penculikan pegawai polis dikatakan tindak balas kepada rancangan Noboa untuk menangani tahap keselamatan yang teruk di negara itu.

Noboa telah mengisytiharkan darurat selama 60 hari, menghantar tentera ke jalanan untuk mengawal keselamatan orang awam.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE