fb fb fb fb fb

AS, Britain lancar serangan ke atas Houthi

Sebuah pesawat RAF Typhoon berlepas untuk menyertai gabungan yang diketuai AS daripada RAF Akrotiri untuk melakukan serangan udara di Yaman / REUTERS

WASHINGTON, 12 Januari- Amerika Syarikat dan Britain melancarkan serangan udara dan laut terhadap tentera Houthi di Yaman sebagai tindak balas terhadap serangan kumpulan itu ke atas kapal di Laut Merah.

Ketika saksi di Yaman mengesahkan letupan di seluruh negara kepada Reuters, Presiden Joe Biden memberi amaran dalam satu kenyataan lewat Khamis dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut jika perlu.

"Serangan yang disasarkan ini adalah mesej jelas bahawa Amerika Syarikat dan sekutu kami tidak akan bertolak ansur dengan serangan ke atas 'orang kami' atau membenarkan pihak yang bermusuhan menjejaskan kebebasan pelayaran," kata Biden.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Britain berkata dalam satu kenyataan "petunjuk awal adalah keupayaan Houthi untuk mengancam kapal pedagang telah mendapat tamparan."

Setiausaha Pertahanan AS Lloyd Austin, yang berada di hospital kerana komplikasi pembedahan, berkata dalam satu kenyataan, serangan itu menyasarkan aset Houthi termasuk dron, peluru berpandu balistik dan kapal laut, radar Coastal serta pengawasan udara.

Seorang pegawai Houthi mengesahkan serangan di ibu negara Sanaa dan bandar Saada dan Dhamar serta di wilayah Hodeidah, menggelarnya sebagai "pencerobohan Amerika-Zionis-British."

Saksi memberitahu Reuters serangan itu menyasarkan pangkalan tentera bersebelahan dengan lapangan terbang Sanaa, tapak tentera berhampiran lapangan terbang Taiz, pangkalan tentera laut Houthi di Hodeidah dan tapak tentera di wilayah Hajjah.

Serangan yang berterusan itu adalah salah satu demonstrasi paling dramatik setakat ini.

Ia jelas mempunyai kaitan dengan perang Israel-Hamas walaupun AS berkata pihaknya tidak ada niat untuk meningkatkan ketegangan.

Seorang pegawai AS berkata serangan itu dilancarkan menggunakan pesawat, kapal dan kapal selam.

Katanya, berpuluh-puluh lokasi menjadi sasaran dan serangan itu bertujuan untuk melemahkan keupayaan tentera Houthi dan bukan sekadar simbolik.

"Matlamat serangan ini sangat jelas dari awal dan dari Presiden, dan ia adalah untuk menghapuskan aset Houthi dengan menyasarkan kapal maritim, sama ada kapal komersial atau tentera," kata seorang pegawai kanan tentera AS.

Houthi, yang menguasai sebahagian besar Yaman, mengingkari seruan PBB dan antarabangsa lain untuk menghentikan serangan peluru berpandu dan dron mereka di laluan perkapalan Laut Merah dan amaran dari Amerika Syarikat tentang akibat jika mereka gagal berbuat demikian.

Houthi berkata serangan mereka adalah menyokong Hamas.

Israel telah melancarkan serangan ketenteraan yang telah membunuh lebih 23,000 rakyat Palestin di Gaza sejak 7 Oktober 2023.

Sejak akhir Disember, Houthi telah menyerang 27 kapal, dan tindakan itu dikatakan mengganggu perdagangan antarabangsa di laluan utama antara Eropah dan Asia yang menyumbang kira-kira 15% daripada trafik perkapalan dunia.

Houthi, yang merampas sebahagian besar Yaman dalam perang saudara, berikrar untuk menyerang kapal-kapal yang dikaitkan dengan Israel atau menuju ke pelabuhan Israel.

Bagaimanapun, banyak kapal yang disasarkan tidak mempunyai kaitan dengan Israel.

Pemimpin Houthi berkata pada Khamis sebarang serangan AS ke atas kumpulan itu tidak akan berakhir tanpa tindak balas.-REUTERS

1201 YAMAN SERANGFoto bertarikh 20 November 2023 menunjukkan helikopter tentera Houthi terbang di atas kapal kargo Galaxy Leader di Laut Merah / REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE