fb fb fb fb fb

Ecuador mula potong bekalan elektrik lebih awal akibat kemarau

Loji hidroelektrik Mazar di Las Palmas, Ecuador / Foto AFP

QUITO, 22 September - Ecuador akan memulakan pemotongan bekalan elektrik berjadual sehari lebih awal, menurut kenyataan kerajaan dalam usaha mencatu tenaga ketika negara yang bergantung kepada kuasa hidroelektrik itu berdepan kemarau paling teruk dalam tempoh 61 tahun.

Pemotongan bekalan yang asalnya dijadualkan pada waktu malam dari Isnin hingga Khamis kini akan dilakukan pada waktu siang, bermula pukul 8:00 pagi hingga 5:00 petang Ahad di 12 wilayah, menurut kenyataan rasmi Pejabat Presiden.

Pemotongan bekalan elektrik itu dilakukan bagi “melindungi sumber air” yang masih ada setelah negara itu mengalami 71 hari tanpa hujan, kata kenyataan tersebut.

Paras air yang rendah telah menyebabkan takungan di loji hidroelektrik yang memenuhi 70 peratus daripada keperluan elektrik negara jatuh ke tahap kritikal.

Kenyataan turut memberi amaran bahawa langkah tambahan mungkin akan diambil.

“Pada Ahad tengah hari, selepas menilai situasi air di rantau ini, langkah pelengkap yang diperlukan akan diumumkan,” tambahnya.

Pemotongan bekalan elektrik selama enam jam telah dilakukan pada malam Rabu lepas di beberapa kawasan sebagai persediaan sebelum pemotongan yang dijadualkan.

Jawatankuasa Operasi Kecemasan Kebangsaan (COE) pada Sabtu melanjutkan amaran merah yang dikenakan di 15 wilayah, termasuk ibu negara Quito.

Dewan perniagaan di bandar komersial Guayaquil menganggarkan bahawa setiap jam pemadaman akan menyebabkan kerugian sekitar AS$12 juta kepada negara.

“Semasa pemotongan elektrik yang berlaku pada awal tahun ini, kerugian telah melebihi AS$1.44 bilion atau 1.4 pertus daripada KDNK,” menurut kenyataan Dewan Perniagaan itu yang dikeluarkan dua minggu lalu.

Pada bulan April, negara itu turut melaksanakan catuan elektrik sehingga 13 jam sehari akibat kemarau.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN