fb fb fb fb fb

Dua remaja Palestin dibunuh tentera Israel di Tebing Barat

Foto AFP

BAITUL MAQDIS, 3 Disember - Tentera Israel membunuh dua remaja Palestin dalam insiden berasingan berhampiran Hebron dan Ramallah.

Pihak Berkuasa Palestin mengenal pasti remaja tersebut iaitu Muhannad Tariq Mohammed al-Zaghir yang berusia 17 tahun telah dibunuh oleh tentera Israel di Hebron.

Manakala Mohammed Raslan Mahmoud Asmar, 18 tahun, telah ditembak mati oleh tentera Israel di utara Ramallah.

Israel mendakwa kedua remaja berkenaan bertindak menyerang tentera Israel sebelum ditembak mati.

Serangan pertama berlaku pada petang Isnin berhampiran Hebron, di selatan wilayah Palestin, apabila seorang tentera wanita cedera ringan dalam serangan rempuhan kereta.

Insiden kedua berlaku berhampiran Ramallah, di tengah Tebing Barat, kawasan yang diduduki Israel sejak 1967. Tentera dikerahkan ke kawasan penempatan Ateret selepas kamera pengawasan mengesan seorang suspek. Semasa pemeriksaan keselamatan, suspek menikam dua tentera Israel sebelum ditembak mati.

Sementara itu, pejuang Hamas memuji tindakan remaja berkenaan menyerang tentera Israel sebagai serangan berani.

Pada hari yang sama, tentera Israel turut memusnahkan rumah milik suspek yang terlibat dalam serangan terdahulu di Nablus dan Aqaba, dengan beberapa penahanan dan perintah berkurung dikuatkuasakan.

Keganasan di Tebing Barat meningkat sejak konflik Israel-Palestin pada Oktober 2023. Sejak itu, puluhan ribu rakyat Palestin terbunuh dalam operasi ketenteraan Israel.-AFP

ROSLINA BINTI DIN