ZAGREB, 5 Oktober- Sebuah van terlebih muatan yang membawa pendatang merempuh sebuah rumah lalu menyebabkan dua orang maut dan beberapa yang lain cedera, kata polis.
Kemalangan berlaku di bandar kecil Novska tengan Croatia.
Pegawai polis mengesan sebuah van yang terlebih muatan dengan nombor plat Jerman dan mengekori kenderaan tersebut.
Selepas menyedari kehadiran polis, pemandu van itu memecut kenderaan, terbabas lalu melanggar sebuah rumah. Pemandu dan seorang penumpang meninggal dunia.
Laporan media tempatan mengatakan kira-kira 25 orang cedera, dengan sembilan orang dalam keadaan serius.
Polis tidak memberikan butiran tentang identiti pendatang tersebut, tetapi laporan media tempatan mengatakan mereka termasuk warga Turkiye dan beberapa negara di Asia Barat.
Kejadian itu berlaku hampir sebulan selepas satu lagi van yang membawa pendatang terbabit kemalangan di timur Croatia, menyebabkan 14 orang cedera.
Croatia, sebuah negara anggota Kesatuan Eropah, sudah lama menjadi laluan transit utama bagi pendatang haram yang melalui laluan Balkan dengan harapan untuk memasuki Eropah, dengan kebanyakan daripada mereka melalui Bosnia yang hanya bersebelahan.
Menurut agensi sempadan EU, Frontex, hampir 100,000 pendatang yang melarikan diri daripada perang atau kemiskinan menggunakan laluan Balkan tahun lepas untuk memasuki EU.-AFP