fb fb fb fb fb

Dua maut, lapan lagi masih terperangkap bawah runtuhan lombong arang batu di Pakistan

FOTO HIASAN

QUETTA, 20 Mac- Dua lelaki disahkan maut manakala lapan lagi turut dikhuatiri terkorban dalam kejadian runtuhan lombong di selatan Pakistan pada Selasa.

Letupan gas menggegarkan lombong arang batu persendirian di kawasan perlombongan Khost, 80 kilometer (50 batu) timur Quetta, pada petang Selasa, memerangkap 10 orang kira-kira 800 kaki di bawah tanah.

“Dua mayat telah ditemui oleh pasukan penyelamat semalaman,” kata Ghani Baloch, ketua pemeriksa lombong wilayah Balochistan, kepada AFP.

"Kami bimbang pekerja yang lain mungkin turut terkorban, namun anggota pasukan penyelamat kami berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan mereka."

Sekumpulan lapan pekerja lombong yang cuba menyelamatkan rakan sekerja mereka juga terperangkap selama beberapa jam, tetapi kemudian berjaya dibawa keluar oleh pasukan penyelamat kerajaan, sebahagian daripada mereka tidak sedarkan diri.

"Punca kejadian adalah pengumpulan gas karbon monoksida diikuti dengan letupan. Akibatnya lombong itu runtuh," kata Baloch kepada AFP.

Insiden maut bukan perkara luar biasa di lombong Pakistan, yang terkenal dengan keadaan kerja yang berbahaya dan standard keselamatan yang lemah.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE