fb fb fb fb fb

Dua maut, akibat kebakaran hutan di selatan New Mexico

Foto AFP

NEW MEXICO, 20 Jun- Dua orang maut dalam kebakaran hutan di selatan New Mexico yang telah membakar lebih 500 buah rumah dan beberapa infrastruktur lain di sekitarnya.

Kebakaran itu telah menyebabkan pemindahan kira-kira 8,000 penduduk dari komuniti peranginan di gunung Ruidoso.

Mayat rangka seseorang yang tidak dikenali ditemui di tempat duduk pemandu kereta yang terbakar, lapor Polis Negeri New Mexico pada Rabu.

Selain itu, seorang lagi mangsa dikenali sebagai Patrick Pearson, 60 tahun.

Kebakaran itu telah merebak sekitar 135 batu di tenggara Albuquerque, bandar terbesar di negeri itu, di kawasan yang sering mengalami rentetan kebakaran hutan termasuk satu kes yang mengorbankan dua orang pada tahun 2022.

Gabenor New Mexico, Michelle Lujan Grisham pada Rabu meminta pengisytiharan bencana besar daripada Presiden Joe Biden untuk kebakaran South Fork dan Salt, yang telah membakar lebih 23,000 ekar (9,308 hektar) di utara dan selatan Ruidoso.

New Mexico terperangkap dalam kemarau selama hampir tiga dekad sekali gus mengakibatkan kemusnahan hutan merebak dengan lebih pantas.

Pada tahun 2022, negeri tersebut mengalami kebakaran terbesar di benua Amerika Syarikat yang membakar lebih 341,000 ekar (138,000 hektar).- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM