(FOTO AFP)
BEIJING, 12 Ogos- Sekurang-kurangnya 12 orang maut dan 16 lagi hilang dihanyutkan banjir lumpur dan tanah runtuh susulan hujan lebat yang melanda Weiziping di utara China, hari ini.
China berdepan bencana banjir sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dengan angka kematian mencecah 78 orang, menurut angka rasmi kerajaan semalam.
"Berlaku banjir kilat gunung serta banjir lumpur susulan hujan lebat pada pukul 6.00 petang waktu tempatan semalam.
"Dua rumah dihanyutkan air, manakala infrastruktur termasuk jalan raya, jambatan dan bekalan elektrik telah rosak," lapor agensi berita, China Central Television (CCTV).
Dalam kejadian itu, empat penduduk yang terperangkap berjaya diselamatkan.
Usaha mencari 16 lagi yang masih hilang sedang giat dijalankan oleh anggota penyelamat.
Pihak berkuasa pengurusan kecemasan bandar terbabit mengeluarkan amaran bahawa kawasan berkenaan akan menyaksikan beberapa episod 'dibadai ribut' dalam masa terdekat ini.
"Ditambah dengan hujan berterusan, gunung dan tanah akan menjadi sangat tepu, berkemungkinan membawa kepada bencana sekunder (kedua) seperti banjir kilat gunung dan tanah runtuh," kata kenyataan itu.
Perkampungan Weiziping terletak di kawasan jurang sempit berhampiran selatan pusat bandar Xi'an di utara China. -AFP
(Seekor anjing yang terselamat dalam kejadian banjir lumpur di China/AFP)