fb fb fb fb fb

Dua ditahan tebuk Tembok Besar China untuk bina laluan pintas

(FOTO AFP)

BEIJING, 6 September - Dua individu ditahan selepas menggunakan jengkaut untuk menebuk lubang di dinding Tembok Besar China, lapor penyiar kerajaan CCTV.

Polis di wilayah Shanxi mengikut jejak jentera yang digunakan untuk menggali laluan pintas melalui dinding tinggalan struktur besar yang dibina Maharaja China untuk menghalang pencerobohan asing.

Menerusi soal siasat, suspek mengaku telah menggunakan jengkaut untuk mencipta laluan pintas dengan menebuk dinding dalam usaha mengurangkan masa perjalanan, lapor media kerajaan.

(Pemandangan jalan tanah yang melalui bahagian Tembok Besar China yang rosak,
di Daerah Youyu, Bandar Shuozhou, Wilayah Shanxi, China / FOTO REUTERS)

Pembinaan Tembok Besar, yang terbahagi kepada beberapa bahagian sepanjang ribuan kilometer itu mula dibina pada abad ketiga sebelum masihi dan pembinaannya berterusan selama beberapa abad.

Bahagian Tembok Besar yang terjejas, terletak kira-kira enam jam pemanduan ke barat Beijing, bermula sejak Dinasti Ming China pada abad ke-14 hingga ke-17.

Penyiar CCTV pada Isnin melaporkan bahawa tindakan suspek telah menyebabkan "kerosakan yang tidak dapat dipulihkan" pada dinding era Ming itu yang digambarkan sebagai bahagian "yang agak utuh" dengan nilai penyelidikan yang signifikan.

“Buat masa ini, kedua-dua suspek telah ditahan bawah kesalahan jenayah mengikut peruntukan undang-undang, dan kes itu akan terus disiasat,” lapor CCTV.-AFP

Media Baharu