ROME, 22 September – Dua beradik, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan, maut apabila bangunan dua tingkat tempat tinggal mereka runtuh berhampiran Naples, Itali, pada pagi Ahad.
Tragedi yang berlaku di Saviano mengorbankan dua kanak-kanak berusia empat dan lima tahun.
Manakala ibu mangsa dan seorang warga emas dikhuatari terperangkap dalam insiden itu.
"Pasukan bomba berjaya menyelamatkan bapa dan seorang bayi, tetapi dua kanak-kanak tersebut tidak dapat diselamatkan," kata pasukan bomba menerusi kenyataan di X.
Menurut pasukan bomba, anjing pengesan telah dihantar ke lokasi untuk mencari ibu kanak-kanak tersebut serta seorang warga emas yang juga tinggal di bangunan itu.
Gambar yang dikongsikan oleh pasukan bomba menunjukkan sebahagian dinding tingkat dua di bangunan itu hancur selain terdapat lubang besar di siling tingkat pertama.
Menurut media tempatan, runtuhan tersebut mungkin berpunca daripada letupan gas.
Seorang warga emas yang tinggal di berlainan tingkat turut dilaporkan hilang. - AFP