fb fb fb fb fb

Dua bekas menteri dipenjara, beli gas pemedih mata dan peralatan rusuhan tidak sah

Arturo Murillo, bekas menteri dalam negeri Bolivia didapati bersalah atas jenayah "perundingan haram"

LA PAZ, 5 Oktober- Dua bekas menteri Bolivia dikenakan hukuman penjara selama lapan tahun atas kesalahan pembelian gas pemedih mata dan peralatan rusuhan tidak sah yang digunakan untuk meredakan demonstrasi oleh penyokong bekas presiden Evo Morales pada akhir 2019.

Morales, presiden pertama Bolivia daripada kaum asal,menjadi sangat popular selepas memegang kuasa pada tahun 2006. Namun, popularitinya merosot apabila dia cuba mengabaikan perlembagaan dan mencalonkan diri untuk penggal keempat pada 2019.

Walaupun Morales memenangi undian tersebut, pihak pembangkang sayap kanan menuduhnya melakukan penipuan, menyebabkannya terpaksa meletak jawatan di tengah-tengah protes besar, lalu melarikan diri ke luar negara.

Selepas Morales digantikan oleh presiden interim sayap kanan Jeanine Anez, demonstrasi kembali meletus oleh penyokongnya dan pertempuran antara orang awam dan pasukan keselamatan menyebabkan 35 kematian, menurut siasatan oleh Suruhanjaya Antara-Amerika mengenai Hak Asasi Manusia.

Pada Jumaat, mahkamah Bolivia mendapati dua bekas pegawai bawah pemerintahan sementara Anez bersalah kerana pembelian gas pemedih mata dan barang ketenteraan yang tidak sah pada November 2019.

Arturo Murillo, yang merupakan menteri dalam negeri, didapati bersalah atas jenayah "perundingan haram", manakala bekas menteri pertahanan Luis Fernando Lopez dihukum atas "jenayah kontrak yang merugikan negara", kata kementerian kehakiman.

Murillo sebelum ini telah dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun dan 10 bulan di Amerika Syarikat pada Januari 2023 berhubung kes yang sama, selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan berkonspirasi untuk 'membasuh" wang suapan yang diterimanya.

Menurut pegawai Amerika Syarikat, Murillo menerima sekurang-kurangnya AS$532,000 dalam bentuk suapan daripada sebuah syarikat di Florida kerana membantunya mendapatkan kontrak bernilai AS$5.6 juta untuk menyediakan peralatan rusuhan kepada kementerian pertahanan Bolivia.

Lopez kini berada di negara jiran, Paraguay.

Bolivia masih kekal terpolarisasi selepas peristiwa 2019.

Anez dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun pada Jun 2022 atas tuduhan mencetuskan rampasan kuasa terhadap Morales, tetapi kerajaan dan kumpulan masyarakat sivil masih mendesak untuk perbicaraan lain berkaitan kematian penunjuk perasaan.

Presiden semasa, Luis Arce, yang dahulunya sekutu Morales kini terlibat dalam perebutan kuasa dengan Morales,menyebabkan ketidakstabilan politik di negara Andes tersebut semakin meruncing.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE