LONDON, 25 Julai – Doktor berdaftar di England memulakan mogok selama lima hari bermula Jumaat sebagai tanda protes terhadap isu gaji, sekali gus mencabar kerajaan Parti Buruh pimpinan Perdana Menteri Keir Starmer yang sebelum ini berjanji akan menamatkan ketegangan industri selepas mengambil alih pentadbiran setahun lalu.
Sekumpulan doktor dilaporkan membentuk barisan piket di luar Hospital St. Thomas, London sambil memegang sepanduk dan melaungkan slogan menuntut keadilan terhadap kadar bayaran semasa.
Kerajaan enggan memenuhi tuntutan kenaikan gaji yang dikemukakan oleh Persatuan Perubatan British (BMA), yang menyifatkan kenaikan 5.4 peratus kepada doktor berdaftar, golongan profesional bertauliah yang mewakili hampir separuh daripada tenaga kerja perubatan sebagai tidak mencukupi untuk menampung penyusutan nilai gaji sejak sekian lama.
Susulan itu, barisan piket kembali kelihatan di hadapan hospital-hospital di seluruh negara bermula pukul 6.00 pagi mengulangi situasi pada tahun 2023 apabila inflasi tinggi dan gaji yang tidak seimbang mencetuskan gelombang mogok melibatkan doktor, jururawat dan kakitangan lain di bawah Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS).
Tahun lalu, sejurus selepas memenangi pilihan raya umum, kerajaan Parti Buruh berjaya mencapai persetujuan dengan doktor untuk kenaikan gaji sebanyak 22 peratus.
Namun tahun ini, ketika berdepan tekanan kewangan awam yang semakin ketara, kerajaan hanya menawarkan kenaikan sebanyak 5.4 peratus dan enggan berunding semula.
Menteri Kesihatan, Wes Streeting, menyifatkan tindakan mogok tersebut sebagai "tidak bertanggungjawab dan tidak perlu", serta menyeru agar perkhidmatan kesihatan awam tidak dijadikan medan tekanan politik. -REUTERS