fb fb fb fb fb

Ratusan rakyat Kemboja derma darah sokong tentera di barisan hadapan

Orang ramai mengunjungi pusat derma darah di Dewan Koh Pich, Phnom Penh/Foto REUTERS

PHNOM PENH, 25 Julai – Ratusan rakyat Kemboja tampil menderma darah pada Jumaat di sini sebagai tanda sokongan kepada tentera negara yang sedang berdepan konflik bersenjata dengan Thailand di kawasan sempadan yang dipertikaikan.

Para penderma termasuk pelajar, pegawai perubatan dan orang awam, menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum menderma darah.

Beg-beg darah kemudiannya disimpan dalam kotak berais untuk dihantar ke hospital dan pos tentera yang memerlukan.

Langkah ini diambil selepas seruan oleh Isteri Perdana Menteri Kemboja, Pich Chanmony, yang menggesa rakyat menyokong usaha mempertahankan negara melalui pendermaan darah.

“Saya lihat tentera kita sanggup korbankan nyawa demi pertahankan negara, itulah yang mendorong saya untuk derma darah sebagai simpanan jika diperlukan,” kata Voeun Vutha, 30, seorang sami dari Pagoda Tang Krasang.

Sementara itu, seorang doktor haiwan, Neak Kea, 35, berkata: “Saya melihat seruan kerajaan supaya rakyat menderma darah bagi membantu tentera di barisan hadapan. Ini yang saya boleh lakukan sebagai rakyat biasa.”

Pelajar, Map Tansan, 20, dari wilayah Siem Reap pula berkata: “Saya datang untuk tunjukkan sokongan kepada tentera Kemboja, dan ini cara saya bantu mereka.”

Turut hadir memberi sokongan moral, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perkhidmatan Awam, Hun Many.

“Lebih dari sekadar menderma darah, kehadiran rakyat hari ini menunjukkan semangat perpaduan dan kekuatan rakyat Kemboja dalam mempertahankan negara serta menyokong kerajaan dan tentera, terutamanya ketika ini, pada hari kedua serangan tentera Thailand yang telah menceroboh negara kita,” katanya.

Sekurang-kurangnya 16 orang, kebanyakannya orang awam Thailand, telah terbunuh dalam pertempuran yang dianggap paling buruk antara kedua-dua negara sejak lebih sedekad lalu.

Pertempuran bermula pada awal pagi Khamis di kawasan sempadan yang menjadi pertikaian sejak lebih 100 tahun, dan kini melibatkan tembakan artileri. - REUTERS

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI